
Fahmi telah mengarahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci ke atas sebuah stesen radio milik Astro yang dilihat mempersenda upacara agama lain dalam video yang dimuat naik di platform media sosial. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci ke atas sebuah stesen radio milik Astro yang dilihat mempersenda upacara agama lain dalam video yang dimuat naik di platform media sosial, baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Fahmi berkata, kementeriannya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan stesen radio tersebut.
Sehubungan itu, kata Fahmi, pihaknya akan memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.
Kata Fahmi, perkara ini dilakukan untuk memastikan tindakan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
