MEKAH: Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah hari ini, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Beliau berkata pergerakan secara berperingkat itu bermula pukul 7 pagi waktu Arab Saudi, melibatkan jemaah dari tiga bangunan penginapan iaitu di Abraj Al Janadriyah, Qsar Al Janadriyah dan Land Premium serta jemaah haji pakej.
"Lembaga Tabung Haji (TH) dan Syarikat Tewafa Asia Tenggara telah menyediakan 17 bas bagi membawa kira-kira 2,500 jemaah haji untuk setiap maktab dan pergerakan itu dibuat secara tiga pusingan (tiga waktu berlainan).
"Urusan membawa jemaah dari Makkah ke Arafah dijangka selesai sebelum pukul 10 malam bagi pergerakan 8 Zulhijjah," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dijangka akan menyampaikan khutbah Arafah di khemah jemaah haji.
Menurut Syed Saleh jemaah haji tahun ini bertuah kerana kerajaan Arab Saudi telah melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk penyediaan tilam dan bantal di khemah penginapan, serta bekalan elektrik disambung secara terus tanpa menggunakan 'genset' untuk memastikan ia lebih baik dan stabil.
Selain itu, beliau berkata bagi pergerakan ke Muzdalifah, bas akan bersedia di Arafah pada pukul 6 petang dan jemaah mula menaiki bas setengah jam selepas itu untuk bergerak ke sempadan Arafah.
"Bas akan bergerak dari Arafah ke Muzdalifah sebaik sahaja azan maghrib berkumandang pada pukul 7.08 malam. Jemaah haji kemudiannya akan bermabit di Muzdalifah sehingga pukul 11.45 malam," katanya.
Bagi pergerakan ke Mina pula, bas pertama dijangka bergerak dari Muzdalifah pada pukul 11.45 malam dan berdasarkan perancangan awal, urusan pergerakan jemaah haji di Muzdalifah dijangka selesai pukul 6 pagi Sabtu.
"Mereka akan berada di Mina untuk bermalam dan melontar di tiga jamrah. Semasa berada di Mina pelbagai aktiviti telah dirancang bagi mengisi masa sepanjang berada di situ seperti berzikir dan ceramah.
"Untuk melontor mereka akan bergerak dari khemah ke jamrah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer pergi dan balik. Jemaah haji akan bergerak pada waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas dan sepanjang pergerakan akan ada petugas menunggu di kawasan tertentu untuk memberi pandu arah," katanya.
Syed Saleh berkata kesemua jemaah telah diberi taklimat lebih awal mengenai pergerakan yang akan berlaku sepanjang operasi di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Katanya pergerakan dan suasana semasa operasi masyair adalah sesuatu yang amat mencabar dan berharap jemaah haji bersedia dari segi mental dan fizikal.
Sementara itu, bagi jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH Syisyah dan Hospital Arab Saudi, mereka akan dibawa wukuf di Arafah dengan menggunakan ambulans sekiranya mendapat kebenaran daripada doktor.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jul 07 2022

Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah hari ini. - Gambar fail/REUTERS

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

WHO lancar kempen vaksinasi polio besar-besaran di Gaza Sabtu ini
Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini (22 Februari), dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Rusia buka kedutaan di tujuh negara Afrika menjelang 2026
Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan.

Maldives akan usir ekspatriat gagal serah data biometrik
Operasi Kurangi, yang dilancar pada Mei 2024, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian kekal kepada isu pendatang tanpa dokumen di Maldives.

Rusia, Syria akan adakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan
Rusia dan Syria dijadual mengadakan perbincangan peringkat tinggi minggu depan, kata Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

Nilai pelaburan asing diluluskan Januari-September 2024 berjumlah RM254.7 bilion
Jumlah itu melibatkan 4,753 projek dan dijangka menjana sebanyak 159,347 peluang pekerjaan baharu.

Indonesia hantar 221,000 jemaah haji pada 2025
Indonesia akan menghantar 221,000 jemaah haji pada musim haji 2025, seperti yang digariskan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Indonesia dan Arab Saudi.

Bayaran haji naik 20 peratus bagi B40 dan M40, kos haji kekal RM33,300
Setiap seorang jemaah haji kumpulan B40 terima Bantuan Kewangan Haji RM17,300 dan bantuan kerajaan RM1,000.

WHO dan Arab Saudi perluas program kad kesihatan digital haji
Kad kesihatan Haji ini dibangunkan berdasarkan infrastruktur utama (PKI) dalam Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Global (GDHCN) WHO.

31 Sahabat Korporat TH sumbang RM4.8 juta kepada jemaah haji Malaysia
Lembaga Tabung Haji menerima sumbangan RM4.8 juta daripada 31 syarikat korporat melalui program Sahabat Koporat TH bagi membantu jemaah haji Malaysia.

Fahami pengertian istito'ah sebelum tunai ibadah haji
Pengetahuan perlu dikuasai untuk memastikan ibadah dapat dilakukan dengan sempurna sekali gus membolehkan jemaah mendapat haji yang mabrur.

Hasrat meninggal dunia di Tanah Suci termakbul
Hasrat meninggal di Tanah Suci disuarakan Abd Wahab kepada jiran-jiran yang berkunjung sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.

Urus perlindungan takaful jemaah haji 5 negara
Al Khairi Insurance Limited tawar perlindungan takaful kepada jemaah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura serta Bangladesh.

1,301 jemaah meninggal dunia pada musim haji tahun ini - Arab Saudi
"Banyak kes" kematian akibat suhu panas melampau dan perjalanan "tidak dibenarkan."

Beberapa negara sahkan jemaah haji meninggal dunia guna visa pelancong, lawatan
Beberapa negara mengesahkan bahawa kebanyakan jemaah haji mereka yang meninggal dunia adalah individu yang memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau lawatan.

Kebanyakan jemaah yang maut tiada permit visa haji - Laporan
Laporan yang diterima mengesahkan bahawa mereka masuk ke Arab Saudi beberapa bulan sebelum ibadah Haji bermula.