Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata salah satu faktor kejayaan TH pada setiap musim haji adalah atas hasil komitmen serta keprihatinan yang berterusan
daripada Sahabat Korporat TH yang jelas membantu memudahkan urusan Jemaah Haji Malaysia ketika di Mekah dan Madinah.
Mohd Na’im turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua 57 buah agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan operasi Musim Haji 1445H.
Mohd Na’im juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi di Malaysia, Tuan Yang Terutama Mesaad Ibrahim Al Sulaim di atas kerjasama, bantuan serta sokongan baik yang diberikan sepanjang operasi haji berjalan.
“Malaysia telah dipilih sekali lagi untuk pelaksanaan Program Pra-Perlepasan Imigresen Arab Saudi atau ‘Makkah Route’ dimana ia ternyata memendekkan masa bagi urusan imigresen para jemaah setibanya mereka di Tanah Suci,” kata Mohd Na’im ketika di Majlis Kesyukuran Sempena Tamat Operasi Haji Musim 1445 Hijrah di Menara TH.
Majlis yang dianjurkan ini adalah bagi merakamkan tanda penghargaan TH kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci yang melibatkan para petugas haji, anggota agensi kerajaan dan syarikat swasta dalam menjayakan operasi haji tahun 1445H/2024M.
Antara sumbangan yang diterima daripada Sahabat Korporat TH adalah wang tunai dan barang keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian bagi memudahkan urusan para jemaah sepanjang mengerjakan haji di Tanah Suci.
Mohd Na’im juga mengalu-alukan agar lebih banyak badan-badan korporat untuk tampil memberikan sokongan dengan menyertai program ini pada musim-musim haji akan datang demi untuk menjamin
kebajikan dan kesejahteraan para jemaah menunaikan ibadah haji.