Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024.
Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dalam sidang media, hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M kekal iaitu RM33,300 seorang.
“Bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan kerajaan bagi B40, akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.
“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.
“Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji.
“Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500,” kata beliau lagi.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah memaklumkan, jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
Katanya lagi, bagi mengawal kos haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.
Jelas beliau, harga penginapan di tanah suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat
daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah.
“Namun, TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal.
“Kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di tanah suci merangkumi 87 peratus dari kos keseluruhan dan adalah di luar kawalan TH,” ujar beliau.