MoU itu ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia Nasaruddin Umar dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq bin Fawzan AlRabiah di Jeddah pada Ahad (12 Jan).
"Terdapat beberapa perkara yang kita persetujui, antaranya ialah jumlah jemaah haji Indonesia yang akan berlepas semasa tempoh operasi haji 2025 iaitu seramai 221,000," kata Umar dalam kenyataannya pada Isnin.
Beliau memperincikan bahawa 221,000 bakal jemaah haji akan tiba dan pulang dari dua lapangan terbang di Arab Saudi.
Seramai 110,500 orang akan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdul Aziz di Madinah dan pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah.
Sementara itu, beliau berkata 110,500 orang lagi akan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dan pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdul Aziz di Madinah.
Menteri itu melahirkan keyakinan bahawa persediaan untuk haji 2025 boleh dimuktamadkan dengan segera selepas pemeteraian MoU itu.
Menteri Umar juga menyokong kuota tambahan untuk pegawai haji Indonesia, yang kini dihadkan kepada 2,210 tahun ini, bagi memastikan perkhidmatan optimum untuk jemaah haji.
MoU antara kedua-dua kementerian juga mengawal selia isu keselamatan. Semua bakal haji diingatkan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, termasuk yang berkaitan dengan pergerakan semasa kemuncak haji di Arafat, Muzdalifah dan Mina.
"Pada dasarnya, kerajaan Indonesia bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi mengenai keselamatan dan keselesaan jemaah," katanya.
-- BERNAMA