Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Mohd Sukki Othman berkata, pengetahuan itu perlu dikuasai untuk memastikan ibadah dapat dilakukan dengan sempurna sekali gus membolehkan jemaah mendapat haji yang mabrur.
"Istito'ah atau kemampuan menunaikan haji adalah satu perkara yang asas sebelum umat Islam menunaikan haji dan ia termasuklah kemampuan dari aspek fizikal seperti kesihatan dan kewangan.
"Jadi perkara ini perlu difahami dengan jelas supaya orang yang tidak dapat menunaikan haji kerana tiada kemampuan, tidak terasa terkilan. Oleh itu, umat Islam perlu diberi kefahaman tentang perkara ini dengan mendalam," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, selain kemampuan fizikal dan kewangan, istito'ah yang digariskan hukum syarak turut mencakupi aspek kemampuan dari sudut keselamatan iaitu aman dalam perjalanan serta mempunyai kenderaan untuk pergi dan balik.
Mengulas tentang jemaah yang menerima bantuan kewangan daripada Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Sukki berkata, tidak menjadi kesalahan malah hukumnya harus memandangkan ia adalah bantuan secara bersasar yang diperuntukkan setiap tahun.
"Penerimaan bantuan ini tidak salah. Bakal haji yang memilih untuk menolak dan membuat pembayaran penuh bermaksud mereka menghayati maksud sebenar istito'ah selain mempunyai kedudukan kewangan kukuh.
"Perbuatan menolak bantuan itu akan memberi manfaat kepada pendeposit TH lain, yang lebih memerlukan selain dapat mengajak bakal haji lebih berusaha dengan wang simpanan sendiri untuk menunaikan ibadah," katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hakimi Mohd Shafiai berkata, langkah menolak bantuan kewangan haji dapat membantu TH menyalurkan kepada yang lebih memerlukan.
Bagaimanapun, tidak salah untuk seseorang itu menerima bantuan kerana institusi kewangan Islam seperti TH mempunyai kod keadilan sosial untuk membantu golongan B40 dan M40 menunaikan haji.
"Bantuan kewangan haji ini juga selari dengan usaha TH dalam memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal terjamin. Oleh itu, tidak nampak apa yang salah (untuk menerima bantuan kewangan) kerana dalam konteks B40, kerajaan melihat mereka ini golongan perlu dibantu.
"Jadi jika penerima bantuan ini menolak, ia merupakan 'class of paradigma', terserah sama ada mereka nak menerima atau tidak," katanya.
Beliau berkata tindakan menolak bantuan itu juga boleh memberi kesan positif kepada TH kerana peruntukan berkenaan dapat dikembalikan kepada pendeposit TH dalam bentuk agihan keuntungan pada tahun berikutnya sekali gus mengukuhkan lagi prestasi kewangan TH.
Menurut TH, sebanyak 263 bakal jemaah haji daripada kumpulan B40 dan M40 telah menolak penuh dan sebahagian bantuan kewangan haji pada musim haji tahun ini selari dengan konsep istito'ah.
Mengikut laman sesawang TH sejak 2001 hingga tahun lepas, sebanyak RM2.4 bilion telah dibelanjakan untuk bantuan kewangan haji selain kira-kira RM350 juta bagi musim haji tahun ini.
Pada musim haji 1445H, bayaran untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu ditetapkan pada RM12,356, manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.
Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini meningkat kepada RM33,300, berbanding RM30,850 tahun lepas.
Berikutan peningkatan kos haji itu, TH memperuntukkan bantuan hingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40 dan 42 peratus bagi M40 manakala untuk golongan T20 pula, mereka dikehendaki membuat bayaran penuh sebanyak RM33,300, sama seperti kos tahun lepas. - BERNAMA