TUNISIA: Presiden Tunisia Kais Saied pada Jumaat memecat Menteri Hal Ehwal Agama Ibrahim Chaibi selepas berpuluh-puluh jemaah haji Tunisia meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji di Arab Saudi, lapor Agensi Anadolu.

Tiada sebarang penjelasan dinyatakan di sebalik pemecatan menteri itu tetapi ia bertepatan dengan kematian sekurang-kurangnya 49 jemaah haji Tunisia di Arab Saudi.

Chaibi sebelum ini berkata pada Jumaat bahawa kebanyakan kematian membabitkan jemaah haji yang menggunakan visa pelancong dan bukannya melalui program haji Saudi.

Chaibi dikritik oleh aktivis media sosial Tunisia yang menuduhnya memuat naik gambarnya ketika menunaikan ibadah Haji pada masa yang sama laporan kematian jemaah haji Tunisia diterima.

-- BERNAMA