TEL AVIV: Puluhan penunjuk perasaan Israel bertempur dengan anggota polis dalam protes antiperang di Tel Aviv pada Sabtu.

Anggota Polis menahan beberapa penunjuk perasaan yang enggan berganjak dalam usaha untuk menyuraikan kumpulan tersebut.

Protes itu berlaku selepas satu perhimpunan aman melibatkan lebih 2,000 penunjuk perasaan yang mengecam kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sekali gus menuntut konflik di Gaza ditamatkan serta perjanjian untuk membawa baki tahanan tebusan kembali ke Israel.

Pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat mencuba selama berbulan-bulan untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.

Usaha terbaru itu dibuat beberapa hari sebelum Donald Trump memegang jawatan sebagai presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 46,537 rakyat Palestin manakala 109,571 cedera sejak 7 Oktober 2023.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, 32 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 48 jam lalu.