BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengadakan taklimat di puncak Gunung Hermon, salah satu lokasi strategik yang bersempadan dengan Syria pada Selasa.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat Perdana Menteri, Netanyahu berkata, pihaknya akan kekal di lokasi penting itu sehingga penyelesaian lain ditemui yang dapat memastikan keselamatan Israel.

Ahad lalu, Israel berjanji menggandakan jumlah penduduknya di Dataran Tinggi Golan yang diduduki, sambil mendakwa ancaman dari Syria masih wujud meskipun pemimpin pemberontak yang menggulingkan Presiden Bashar al-Assad minggu lalu bersikap lebih 'sederhana.'

Terdahulu, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap aset ketenteraan Syria sejak kejatuhan Assad dan memasuki zon tanpa senjata di dalam Syria yang diwujudkan selepas Perang Arab-Israel 1973, termasuk di lokasi puncak Gunung Hermon.

Pemimpin de facto Syria, Ahmad al-Sharaa, pada Sabtu berkata, Israel menggunakan alasan palsu untuk mengesahkan serangan terhadap Syria.

Namun, beliau menegaskan, Syria tidak berminat terlibat dalam konflik baharu. - Agensi