Peguam yang mewakili Yoon, Yun Gap Geun, memaklumkan Mahkamah Perlembagaan akan mengadakan sesi hujahan lisan pertama berhubung perbicaraan pendakwaan terhadap Yoon pada Selasa, manakala penyiasat sedang berusaha menahan presiden yang didakwa itu bagi disoal siasat dalam kes berasingan berkaitan pelaksanaan undang-undang tentera yang hanya bertahan seketika.
"Ketika usaha untuk melaksanakan waran tangkap yang meyalahi undang-undang dan tidak sah sedang dijalankan, terdapat kebimbangan terhadap keselamatan diri dan risiko kejadian yang tidak diingini.
"Bagi presiden menghadiri perbicaraan, isu keselamatan dan perlindungan peribadi perlu diselesaikan terlebih dahulu," kata Yun.
Presiden yang didakwa itu akan hadir ke perbicaraan jika isu berkenaan dapat diselesaikan, tambah Yun.
Mahkamah Perlembagaan sebelum ini memaklumkan bahawa sesi hujahan lisan bagi perbicaraan itu akan bermula pada Selasa, dengan lima sesi pendengaran dijadualkan berlangsung sehingga 4 Feb.
Peguam Yoon sebelum ini menyatakan bahawa presiden itu akan menghadiri perbicaraan kes pendakwaannya pada masa yang "sesuai" untuk membela dirinya.
-- BERNAMA