Rangkaian serangan udara Israel telah meruntuhkan beberapa bangunan di pinggir selatan Beirut pada 27 September tahun lalu, sekali gus meragut nyawa pemimpin tertinggi Hezollah itu.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan, enam orang lain turut terkorban dalam serangan itu.
Menurut laporan berita, Nasrallah dan pegawai kanan lain sedang bermesyuarat di lokasi bawah tanah.
Pembunuhan Nasrallah yang telah mengetuai Hezbollah selama 32 tahun, menyebabkan serangan kecil antara Israel dan kumpulan pejuang tersebut berubah menjadi perang habis-habisan.
Konflik ini menghancurkan banyak wilayah di selatan dan timur Lubnan selama dua bulan sehingga gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dikuatkuasakan pada 27 November lalu.
“Yang Mulia (Hassan Nasrallah) sering mengetuai pertempuran dan perang dari lokasi ini,” kata pegawai keselamatan utama Hezbollah, Wafiq Safa, dalam satu sidang media Ahad di lokasi Nasrallah terbunuh.
Menurut Safa, Nasrallah meninggal dunia di bilik operasi perang itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Media Lubnan sebelum ini melaporkan, Safa juga menjadi sasaran serangan udara Israel di pusat Beirut sebelum gencatan senjata, namun, beliau tidak cedera.
Dalam fasa pertama gencatan senjata, Hezbollah sepatutnya mengalihkan pejuang, senjata dan infrastrukturnya jauh ke utara Sungai Litani, sementara tentera Israel yang menyerang selatan Lubnan perlu berundur sepenuhnya dalam masa 60 hari.
Tentera Lubnan akan dikerahkan secara besar-besaran bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjadi satu-satunya pihak bersenjata di selatan negara itu.
Lubnan dan Hezbollah telah mengkritik serangan dan penerbangan Israel yang masih berterusan di seluruh negara itu serta penarikan balik Israel dari hanya dua daripada puluhan kampung Lubnan yang dikuasai.
Israel pula menyatakan, tentera Lubnan belum melaksanakan tanggungjawabnya untuk membongkar infrastruktur Hezbollah.
Pemimpin Hezbollah, Naim Kassem dalam ucapan yang disiarkan di televisyen Sabtu lalu, memberi amaran bahawa pejuang mereka boleh menyerang Israel jika tenteranya tidak meninggalkan wilayah selatan sebelum akhir bulan ini.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengulangi pendirian yang serupa jika pasukan Hezbollah tidak bergerak ke utara Sungai Litani dan infrastrukturnya masih kekal.
“Jika syarat ini tidak dipenuhi, tiada perjanjian akan wujud dan Israel akan bertindak sendiri untuk memastikan keselamatan penduduk di utara (Israel) kembali ke rumah mereka,” katanya.
Safa turut memaklumkan, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri yang mengadakan rundingan perjanjian gencatan senjata dengan Washington memberitahu, Hezbollah, kerajaan akan bertemu dengan utusan AS, Amos Hochstein, dalam masa terdekat.
“Dan bergantung pada apa yang berlaku, maka pendirian akan ditentukan,” kata Safa.
Hochstein mengetuai usaha diplomasi untuk mencapai gencatan senjata yang rapuh itu. - Agensi