BEIRUT: Pasukan pejuang Hezbollah mengesahkan kematian Hashem Safieddine iaitu salah seorang calon yang dijangka mengetuai kumpulan itu susulan pembunuhan Hassan Nasrallah.

Sebelum ini, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata, Safieddine terbunuh apabila Tentera Udara Israel menyerang ibu pejabat perisikan bawah tanah Hezbollah di pinggir selatan Beirut kira-kira tiga minggu lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Hezbollah berkata, Safieddine terbunuh dalam serangan udara Israel, tanpa menyatakan tarikhnya.

“Yang Mulia Sayyed Hashem Safieddine telah menumpukan sebahagian besar hidupnya untuk berkhidmat kepada Hezbollah, penentangan Islam dan masyarakatnya,” kata kenyataan kumpulan pejuang Lubnan itu.

Sehingga kini, Hezbollah masih belum menamakan pengganti Hassan Nasrallah. - Agensi