Menurut laporan Kementerian Pertahanan Syria, wanita dan kanak-kanak merupakan antara yang maut dalam serangan ke atas bangunan kediaman dan komersial di kejiranan Mazzeh di ibu negara yang menempatkan kedutaan dan ibu pejabat keselamatan.
Laporan itu turut menyebut, jumlah kematian yang direkodkan dalam serangan itu merupakan angka awal kerana anggota pasukan penyelamat masih lagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dalam runtuhan itu.
Observartori Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata: "Israel menyasarkan sebuah bangunan yang sering dikunjungi oleh Pengawal Revolusi kanan dan koperasi Hezbollah serta sebuah kereta yang diletakkan di hadapan bangunan itu".
Ketua Observatori, Rami Abdel Rahman berkata, sembilan orang terbunuh, lima daripadanya orang awam termasuk seorang kanak-kanak.
Beliau turut berkata, sekurang-kurangnya dua daripada yang maut merupakan warga asing, tanpa menyatakan kewarganegaraan mereka.
Sementara itu, Kedutaan Iran pila memberitahu, tiada seorang pun daripada warganya yang menjadi mangsa dalam serangan itu.
Rakaman AFPTV dari tempat kejadian menunjukkan sebuah bangunan diselubungi asap, dengan runtuhan dan logam koyak bertaburan di atas tanah.
Juruelektrik Adel Habib, 61, yang tinggal di bangunan yang dilanggar itu berkata, serangan itu seperti "hari penghakiman."
"Saya dalam perjalanan pulang ke rumah apabila letupan berlaku dan komunikasi serta bekalan elektrik terputus sehingga saya tidak dapat menghubungi keluarga saya lagi" di dalam bangunan itu, kata Habib.
"Ini adalah lima minit paling lama dalam hidup saya sehingga saya mendengar suara isteri, anak dan cucu saya."
Televisyen kerajaan Syria berkata, serangan itu menyebabkan kerosakan yang " teruk."
Seorang wartawan AFP berkata, tiga tingkat pertama bangunan itu musnah dan menganggarkan sekitar 20 buah kereta rosak akibat serpihan yang jatuh.
Minggu lalu, Observatori berkata, serangan Israel ke atas Mazzeh membunuh empat orang, termasuk menantu pemimpin Hezbollah, Allahyarham Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut bulan lalu.
Pihak berkuasa Israel jarang mengulas mengenai serangan individu di Syria, namun, telah berulang kali berkata mereka tidak akan membenarkan musuh ketat Iran memperluaskan kehadiran mereka.
Iran dan Hezbollah Lubnan telah menjadi antara sekutu terpenting kerajaan Syria dalam perang saudara lebih sedekad di negara itu.
Lebih 400,000 orang, kebanyakannya pelarian Syria yang pulang, telah menyeberang ke Syria sejak dua minggu lalu, melarikan diri dari serangan udara Israel yang berterusan ke atas Lubnan. - AFP