GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengindahkan dan menaik taraf infrastruktur bandar di lokasi yang terlibat dengan mesyuarat sempena Kepengerusian ASEAN.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa H'ng Mooi Lye berkata kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga bertanggungjawab menyenggara persekitaran di lokasi mesyuarat dilaksanakan dengan sempurna.

"Persediaan itu termasuk menaik taraf kemudahan awam, membaik pulih jalan untuk laluan delegasi, memulihara lokasi pelancongan, mencipta landskap bandar yang menarik dan memasang kain rentang Welcome ASEAN Delegates.

"MBPP dan MBSP juga perlu merancang dan mengurus pembangunan agar proses pengindahan di sekitar lokasi mesyuarat dilaksanakan dengan sempurna serta dalam keadaan cantik dan selamat," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata beberapa mesyuarat dalaman telah diadakan sebelum ini bagi penyelarasan penugasan dan juga gerak kerja untuk kedua-dua PBT berkenaan.

H'ng berkata semua penyelarasan dan juga penugasan itu dijalankan serta diselaraskan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dan setakat ini berjalan lancar.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang mendapati bendera negara-negara ASEAN telah dikibarkan, papan diod pemancar cahaya digital memaparkan mengenai mesyuarat ASEAN dan pokok-pokok bunga menghiasi lokasi yang dipercayai terlibat dengan mesyuarat.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Sepanjang tahun ini, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat termasuk sidang kemuncak yang dijangka berlangsung pada Mei.

Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi bulan ini, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).

Selain itu, pelbagai mesyuarat dan program lain berkaitan mesyuarat ASEAN turut dirancang di Pulau Pinang.

-- BERNAMA