PHNOM PENH: Kem renang negara memulakan kempen Sukan SEA 2023 dengan positif apabila enam atlet berjaya mendapat tempat ke final dalam acara masing-masing yang berlangsung di Morodok Techo Aquatic Centre, di sini hari ini.

Dalam acara 200 meter (m) rampaian individu lelaki, Arvin Shaun Singh Chahal mendominasi saringan 1 dengan catatan masa 2 minit 5.330 saat (s), manakala Tan Khai Xin menamatkan saringan 2 di tempat kedua selepas merekodkan 2:07.480s.

Kecemerlangan kem negara diteruskan pada acara 100m gaya bebas lelaki apabila Lim Yin Chuen mencatatkan 51.040s untuk menamatkan saringan 2 di tempat kedua, manakala perenang meningkat naik, Khiew Hoe Yean menghabiskan saringan 3 dengan masa 50.730s.

Pada acara 50m kuak dada wanita, Tan Rouxi dan Phee Jing En mara ke final selepas menamatkan saringan pertama dan kedua masing-masing dengan catatan masa 33.410s dan 32.410s.

Dalam pada itu, dua wakil negara Hii Puong Wei dan Terence Ng Shin Jian gagal dalam peringkat kelayakan 100m kuak lentang lelaki.

-- BERNAMA