Ringkasan AI
- Atlet papan selaju muda negara, Muhammad Mer Nullah Khan atau Momo Khan, meneruskan program Grind To Olympic Los Angeles 2028 dengan menyertai dua kejohanan di Bali dan Padang, Indonesia. Momo berjaya mendapat tempat ke-17 dalam kategori terbuka di kejohanan King of Kuta di Bali baru-baru ini, menunjukkan peningkatan sejak kejohanan MASS di Singapura. Jurulatihnya, Mariss Khan, menyatakan fokus kini ialah memperkukuhkan kemahiran Momo dalam menghadapi tekanan dan menyempurnakan trik dalam kejohanan. Momo juga mengatasi beberapa atlet senior negara lain dengan kemampuannya bermain di halangan yang lebih besar di gelanggang kejohanan. The Razkals, pasukan persendirian yang menaungi Momo dan rakan sepasukannya Mahathir Nor Daniel, giat membangunkan atlet berprestasi tinggi untuk Olimpik Los Angeles 2028. Dalam masa yang sama, MYSKATE dan Jawatankuasa Teknikal Kebangsaan Papan Selaju kini dalam perancangan untuk memajukan atlet muda berbakat dalam usaha layak ke Sukan Olimpik.
Penyertaan dua kejohanan ini amat penting untuk membaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan Momo, serta melihat kemampuan pencabar lain dari rantau ini bagi menghadapi Sukan SEA di Chonburi dan Songkhla, Thailand pada Disember tahun depan.
Baru-baru ini, Momo, 14 tahun menduduki tempat ke-17 kejohanan King of Kuta di Bali dalam kategori terbuka. Ia merupakan peningkatan selepas berjaya ke separuh akhir kejohanan MASS di Singapura, yang turut menyaksikan penyertaan atlet-atlet terbaik dari Asia Tenggara, selain China dan Jepun.
Menurut pengurus dan jurulatih Momo, Mariss Khan, fokus kini adalah untuk memberikan pendedahan kepadanya untuk menyerap tekanan dan menyempurnakan semua trik yang dirancang dalam kejohanan.
“Momo mampu bersaing dengan trik-trik yang dimainkan oleh atlet terbaik dari rantau ini, malah dia beraksi lebih baik daripada atlet-atlet senior negara yang lain,” kata Mariss.
Jelasnya lagi, Momo dengan rakan sepasukannya dari The Razkals, Mahathir Nor Daniel sahaja yang mampu layak ke separuh akhir di MASS Singapura dalam kategori terbuka dan di Bali dia mengatasi dua lagi wakil negara dari segi kutipan mata dan kedudukan.
“Ini kerana Momo mampu melakukan trik pada halangan yang lebih besar di gelanggang kejohanan berbanding yang lain, kini fokus untuk beri pendedahan dan menyempurnakan trik-trik tersebut semasa kejohanan”
“Kita tiada pilihan selain daripada memastikan Momo menyertai kejohanan-kejohanan di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina di mana mereka mempunyai atlet yang mampu menang pingat di kejohanan serantau,” ujarnya.
Mariss yang juga bapa kepada Momo, merupakan juri kejohanan sukan lasak terkemuka, X Games anjuran ESPN dan banyak lagi kejohanan lain di Asia sejak tahun 2000, malah pernah bertugas sebagai pengurus pasukan papan selaju kebangsaan di bawah Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (ESAM).
Momo dan Mariss kini berada di Padang, Indonesia untuk menyertai kejohanan papan selaju Padang Skateland, yang dijadual berlangsung pada 9 dan 10 November ini.
Pada masa sama, Momo juga dijemput menjalani latihan bersama pasukan papan selaju kebangsaan Indonesia di sebuah fasiliti di Padang Panjang pada sehari selepas kejohanan di Padang.
Program pembangunan papan selaju Momo dan Mahathir ini diusahakan pasukan persedirian, The Razkals yang ditubuhkan pada 2020, untuk membangunkan atlet negara berprestasi tinggi bagi merealisasikan impian negara untuk mempunyai wakil di Olimpik Los Angeles 2028.
Momo dan Mahathir pernah menyertai Kejohanan Dunia Street Tokyo 2023 dan menduduki kelompok tujuh terbaik dalam kejohanan kebangsaan anjuran Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE), di mana Mahathir menduduki tangga pertama.
Dalam perkembangan berasingan, MYSKATE dan Jawatankuasa Teknikal Kebangsaan (NTC) Papan Selaju bakal melengkapkan kertas kerja mengenai perancangan membangunkan atlet papan selaju berprestasi tinggi, selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, dua minggu yang lalu.
Menurut presiden MYSKATE, Idroose Tambarin, fokus harus diberikan kepada atlet-atlet muda untuk proses pembangunan jangka panjang layak ke Sukan Olimpik.
“Fokus kami (MYSKATE) buat masa ini bukan untuk membentuk bakat baharu tetapi untuk fokus kepada bakat yang boleh diketengahkan sebagai atlet berprestasi tinggi,” kata Idroose.
Jelasnya lagi, antara cadangan yang diberikan NTC dalam perbincangan itu adalah memfokuskan kepada atlet muda yang sudahpun menunjukkan potensi mereka di peringkat tertinggi iaitu Mahathir, 15 tahun dan Momo.
“Kita (MYSKATE) perlu menyediakan landasan yang betul untuk atlet-atlet muda ke arah menjadi seorang atlet berprestasi tinggi bersama dengan MSN.
"Bagaimanapun, atlet muda dan senior yang lain tidak akan dipinggirkan dalam pembangunan papan selaju, malah Mahathir dan Momo diletakkan sebagai penanda aras," katanya.
Atlet lain yang dibangunkan oleh kelab, pasukan persendirian serta individu lain yang akan dipantau oleh pengerusi NTC Papan Selaju MYSKATE, Joseph Romey Dures.