Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu menyaksikan kontrak Ahmad Jais dilanjutkan setahun lagi hingga tahun depan.
Beliau berkata PSM berpuas hati dengan prestasi barisan kejurulatihan diketuai Ahmad Jais sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan tahun ini, termasuk mencapai indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan dengan meraih dua pingat emas pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di sini Mei lepas.
"Mereka ini pun pasukan jurulatih yang bagus sebab sering berbincang dengan kita tentang bagaimana untuk bertambah baik, bukan sahaja pemain baharu, namun pemain sedia ada.
"Oleh sebab itu, tiada perubahan untuk pasukan kejurulatihan, namun sekiranya ada tambahan nanti, ia bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya baru-baru ini.
Pada Piala Dunia kali ini, Malaysia mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas mencatatkan kemenangan pada final acara regu dan double, masing-masing dengan keputusan 2-0, namun penantian 33 tahun untuk muncul juara acara regu berpasukan terus berpanjangan apabila tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final.
Bagaimanapun, Mohd Sumali berkata tugas lebih berat menanti Ahmad Jais apabila PSM bakal meletakkan KPI lebih tinggi untuk tahun depan melibatkan tiga kejohanan utama iaitu Piala Asia di Malaysia, Piala Raja Thai dan Sukan SEA 2025 di Thailand.
-- BERNAMA