KUCHING: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) negeri perlu meningkatkan usaha pencarian pelapis atlet wanita bagi sukan para, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata daripada lebih 1,200 atlet di temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 hanya hanya 303 atlet atau 24 peratus adalah wanita.

"Penyertaan lebih ramai wanita dalam sukan para akan memberikan inspirasi kepada yang lain untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Ibu bapa, jangan merasa malu atau segan dengan kad OKU dimiliki anak-anak kita atau ahli keluarga, dedahkan mereka dengan pelbagai jenis sukan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Para SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini, malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Hannah turut menyifatkan program mengenal pasti bakat sukan daripada peringkat sekolah rendah adalah sangat penting dan menyeru lebih banyak pihak bersama menyediakan platform pembangunan bakat sukan OKU.

"Sebagai contoh, baru-baru ini saya hadir ke Program Kementerian Pendidikan, Rimau Emas, iaitu Projek Rintis untuk murid berkeperluan Pendidikan Khas yang menumpukan kepada pembangunan dan pemerkasaan olahraga," katanya.

Hannah berkata penganjuran Para SUKMA bukan sahaja dapat melahirkan atlet yang hebat, malah turut membuktikan kewibawaan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 kelak.

"Sudah tidak disangkal lagi bahawa Para SUKMA terbukti berkesan dalam melahirkan atlet hebat. Daripada 30 atlet negara yang ke Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini, 19 atlet adalah yang lahir daripada Para SUKMA yang lalu," katanya.

Sebanyak 328 acara meliputi 10 jenis sukan - olahraga, renang, powerlifting, catur, tenpin boling, boling padang, ping pong, memanah, badminton dan boccia - dipertandingkan pada edisi kali ini.

-- BERNAMA