Presiden Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata pemilihan berkenaan mengambil masa sembilan hingga 10 bulan sebelum ke temasya dwitahunan itu.
"Kira-kira 20 pemain akan disenaraikan termasuk dua penjaga gol. Jadi mereka tahu apa yang perlu dilakukan, standardnya sangat tinggi. Kita sendiri tetapkan standard itu bersama jurulatih asing," katanya kepada Bernama selepas taklimat persiapan skuad hoki ais kebangsaan di sini semalam.
Terdahulu, MIHF turut mendapatkan khidmat dua jurulatih dari Kanada Martin Page dan Don Kerfoot bagi memantapkan lagi pasukan untuk bersaing di temasya edisi ke-33 itu.
Kedua-dua jurulatih berkenaan ditugaskan memberi penekanan kepada latihan berintensiti tinggi melibatkan fizikal dan mental.
Sementara skuad dikendalikan ketua jurulatih dari Jepun Kazunori Miura menumpukan dari segi taktikal skuad kebangsaan.
Pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia menamatkan saingan dengan meraih gangsa selepas membelasah Singapura 8-2.
Bagaimanapun di Sukan SEA 2019 di Filipina, hasrat negara untuk mengulangi pencapaian sama disekat tuan rumah apabila tewas 1-17.
-- BERNAMA