KUALA LUMPUR: Raja Pecut Asia Tenggara 2017 Khairul Hafiz Jantan memberi bayangan untuk bersara sekiranya tidak layak ke Sukan SEA di Thailand, pada 7 hingga 19 Dis tahun ini.

Atlet berusia 26 tahun yang sering dibelenggu kecederaan sebelum ini berkata beliau akan memberikan tumpuan untuk melayakkan diri ke temasya dwitahunan itu pada kejohanan Terbuka Malaysia tahun ini.

"Saya tidak mahu terlalu berikan tekanan kepada diri dan tidak terlalu berharap untuk ke Sukan SEA sebab tahu kondisi badan saya macam mana.

"Andai tak dapat ke Sukan SEA kita bersara cara baik. Waktu itu sudah bersedia (untuk bersara) sudah main olahraga selama 10 tahun dan tiba masanya`untuk pelapis mewakili Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video berdurasi 1 minit 04 saat (s) yang dimuat naik di Youtube Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hari ini.

Khairul Hafiz atau terkenal dengan julukan The Speedy Jantan mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara reben biru pada Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Khairul Hafiz yang ketika itu berusia 19 tahun merekodkan 10.38s, mendahului juara bertahan Eric Cray dari Filipina (10.43s) manakala pelari Thailand Kritsada Nasuwun (10.43s) ketiga.

-- BERNAMA