Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, antara atlet yang bakal mencuri tumpuan ialah juara bertahan, Nor Farah Mazlan; juara Kejohanan Pencak Silat Asia 2023, Mohamad Firdaus Latib dan pemenang pingat emas di Sukan SEA Hanoi, Muhammad Khairi Adib Azhar.
"Bertanding luar daripada gelanggang bukan alasan untuk menidakkan ukuran kemampuan pesilat kita, sasarannya sama yang kita capai seaktu di edisi 19 di Melaka. Kalau boleh lebih.
"Melihat pencapaian pesilat baru dan lama, ratanya lebih separuh menyertai kejohanan silat dunia, saya percaya gandingan boleh mencapai satu keputusan yang baik," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera Pasukan Silat negara di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, pada Jumaat.
Pada edisi lepas yang berlangsung di Melaka, Malaysia merangkul keseluruhan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pesaka, Bibi Aishah Golbal Shah berkata, Pesaka menyasarkan untuk skuad remaja sekurang-kurangnya membawa pulang tiga pingat emas.
"Tapi kita tidak meletakkan kepada mana-mana atlet tertentu, dalam 15 orang atlet remaja yang kita hantar, jurulatih memaklumkan kita boleh bawa pulang tiga emas," katanya.
Beliau berkata, Pesaka mengutamakan untuk memberi pendedahan kepada skuad remaja, memandangkan mereka bakal menjadi pelapis bagi sukan berkenaan.
Malaysia menghantar keseluruhan 46 atlet ke Abu Dhabi dengan 31 daripadanya merupakan atlet senior dan 15 atlet remaja. - BERNAMA