BARU-BARU ini, tular di internet apabila Datuk Azizulhasni Awang atau gelarannya The Pocket Rocketman tampil sebagai 'cameo' dalam satu muzik video sempena sambutan Aidilfitri bersama penyanyi terkemuka Alif Satar & The Locos yang berjudul “Ini Hari Raya”.

Tapi tahukah anda bahawa sebenarnya ini bukanlah kali pertama atlet negara berjinak-jinak dalam dunia hiburan tempatan?

Pada tahun 2002, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, juga pernah buat kemunculan dalam filem “Cinta 200 Ela”. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin dan Wardina Safiyya Fadlullah sementara Datuk Rashid pula membawa watak pemain golf.



Selain itu, pada tahun 2021, siri popular “Ratu Tenpin” pula dibintangi bekas atlet boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. Siri ini mendapat reaksi positif daripada peminat, dan dilanjutkan kepada musim kedua pada tahun 2022.

Terkini pada tahun 2024, filem “Harimau Malaya: The Untold Journey” mengejutkan peminat apabila treler filem arahan Datuk Afdlin Shauki itu menampilkan kameo penyerang sayap skuad kebangsaan merangkap pemain Selangor, Faisal Halim, yang membawakan watak sebagai pekerja pasaraya AEON BiG!

Agak-agak siapa lagi atlet yang akan mewarnai dunia hiburan dalam masa terdekat ini? -- Stadium Astro