ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye menahan 343 individu dalam protes yang berlangsung di beberapa bandar utama termasuk Istanbul dan Ankara.

Protes itu bagi membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu.

Kementerian Dalam Negeri Turkiye dalam satu kenyataan, berkata penahanan dilakukan bagi mengelakkan gangguan terhadap ketenteraman awam.

Tegas kementerian itu ia bagi memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang "kekacauan dan provokasi."

Sejak Rabu lalu, puluhan ribu rakyat Turkiye telah turun ke jalan untuk menyertai demonstrasi yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman.

Ekrem ditahan atas dakwaan rasuah dan membantu kumpulan pengganas, satu tuduhan yang mencetuskan kemarahan ramai.

Ekrem, yang merupakan pencabar utama Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam arena politik, dilihat mendahului dalam beberapa tinjauan pendapat menjelang pilihan raya akan datang.

Parti Republikan Rakyat (CHP), parti pembangkang utama yang diwakili Ekrem, mengecam penahanan itu sebagai bermotifkan politik dan menggesa penyokongnya agar terus berdemonstrasi secara aman.