MESKIPUN melakar kemenangan dramatik berdepan Kuala Lumpur City dalam perlawanan pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia Jumaat lalu, ia bukanlah berita gembira buat penyokong Kedah Darul Aman yang perlu menerima keputusan berat hati yang berlaku semalam.

Nafuzi Zain secara rasminya mengumumkan peletakan jawatan selaku pengendali utama Sang Kenari yang berkuat kuasa serta merta.

Segelintir penyokong tempatan berpendapat bahawa isu kewangan yang membelenggu kelab tersebut menjadi faktor utama bekas pengendali Terengganu itu mengangkat kaki daripada pasukan berkenaan.



Desas-desus khabar angin yang bertiup kencang seperti yang dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, menyatakan Nafuzi menjadi calon pengendali Harimau Muda bawah 23 tahun (B-23) menggantikan posisi Juan Torres Garrido.

Berita melibatkan perpindahan itu belum dipastikan oleh mana-mana pihak sebaliknya menunggu pengumuman rasmi sekiranya langkah tersebut berlaku.

Separuh akhir Piala FA 2024 dan mengakhiri saingan Liga Super Malaysia 2023 di tempat keempat merupakan pencapaian terbaik jurulatih berusia 46 tahun itu ketika bersama pasukan utara tanah air itu.

Victor Andrag dilantik selaku pengurus sementara bermula hari ini. - Stadium Astro