Ini selepas kuasa penuh yang diberikan kepadanya oleh pihak pengurusan kelab dalam pemilihan semua pemain bagi membentuk pasukan bagi musim 2023.
“Walaubagaimanapun Sang Kenari masih memerlukan masa untuk menjadi sebuah pasukan yang mampu memberikan cabaran apabila membawa masuk ramai pemain muda untuk digandingkan bersama pemain berpengalaman.
"Saya ada cara sendiri dari segi taktikal berdasarkan pemain yang kita ada.
"Saya berterima kasih kepada pengurusan kerana memberikan sokongan 100 peratus kepercayaan dari segi pemilihan pemain dan pengurusan merealisasikan apa yang saya minta. Ini tugas mudah buat saya dengan pemilihan pemain dengan pemain yang saya mahu.
"Pemain yang kita pilih ini, kita tahu ada kualiti tetapi hebat atau tidak perlawanan sebenar yang akan menentukan sebuah pasukan itu," katanya selepas dihubungi Astro AWANI.
Katanya semalam, anak buahnya telah memulakan sesi latihan pertama yang turut disertai pemain import baharu, Amirbek Juraboev.
Namun latihan tersebut tidak melibatkan pemain yang masih bersama skuad kebangsaan iaitu, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi dan Lee Tuck.
Sementara Manuel Ott dan pemain import baharu lain akan tiba dalam dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai kehadiran Lee Tuck pula, Nafuzi berkata, pemain berkenaan mampu membantu pasukan berdasarkan pengalaman luas dan komitmen tingginya yang sudah lama beraksi di Liga Malaysia.
"Lee Tuck adalah seorang pemain yang telah lama bersama dengan saya, versatile, boleh bermain di banyak posisi.
"Dia boleh membantu pasukan untuk menjadi lebih baik, seorang pemain lama di Liga Malaysia dan pernah menjadi kapten pasukan," ujarnya.
Tambah Nafuzi, beliau percaya dengan kemampuan ramai pemain muda yang dibawa masuk pada musim ini kerana mempunyai kualiti namun masa perlu diberikan bagi menyesuaikan diri dengan taktikal yang bakal diterapkan.