Dalam nada kecewa, Nafuzi tetap menyatakan rasa bangga dan memuji persembahan yang dipamerkan pemainnya yang telah menunjukkan semangat juang yang tinggi serta mencipta banyak peluang, namun gagal menghasilkan jaringan.
"Dari segi prestasi, pemain telah tunjukkan semangat luar biasa...keseluruhannya, semua pemain dari mula hingga akhir bersungguh-sungguh dan mencipta banyak peluang, namun tak menjadi...apa pun bagi saya, pemain kena tingkatkan lagi prestasi untuk perlawanan seterusnya.
"Walaupun keputusan tak menyebelahi kita, tapi dari segi kombinasi dari tiga perlawanan setakat ini, kita nampak dari segi kefahaman pemain, kombinasi mereka meningkat, jadi saya harap pemain dapat meneruskan rentak dengan semangat juang sebegini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.
Dalam perlawanan itu, KDA FC terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 di tangan Perak yang disaksikan hampir 10,000 penonton di Stadium Darul Aman, di sini.
Sementara itu, ketua jurulatih Perak Yusri Che Lah berkata kemenangan ke atas Kedah amat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk pasukannya melakar lebih banyak kemenangan selepas ini.
Katanya, kemenangan tersebut melegakan buat pemain dan penyokong Perak yang mahukan kemenangan di Stadium Darul Aman selepas gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
"Betapa tertekannya kita semua dalam keadaan kita tewas serta dibolosi dengan jaringan yang tinggi pada perlawanan dahulu, dan malam tadi pun Kedah menguasai sebahagian besar permainan dan kami hanya sesekali membuat serang balas.
"Inilah bola sepak, seandainya kita menggunakan peluang sebaik mungkin, ianya memihak kepada kita. Pada masa sama kita perlu menilai kembali kelemahan yang ada...perbaiki kelemahan itu sebelum perlawanan seterusnya," katanya.
Yusri turut memuji persembahan pemain import muda berusia 21 tahun dari Korea Selatan, Lee Tae-min yang menunjukkan kemampuan luar biasa hingga berjaya menjaringkan dua gol malam tadi.
-- BERNAMA