Beliau berkata walaupun kehilangan beberapa pemain tonggak sebelum ini, beliau optimis pemain yang ada mampu mempamerkan mutu permainan yang baik.
"Tahniah kepada semua pemain ... dengan keadaan kita sekarang ini (masalah gaji), mereka masih mampu memberikan kemenangan ... saya harap kita boleh teruskan rentak ini.
"Walaupun ada masalah sedemikan, mereka ada keinginan menyumbang sesuatu untuk pasukan ... kredit harus diberikan kepada semua pemain yang bermain bersungguh-sungguh malam ini (tadi)" katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super yang berkesudahan KDA FC menang tipis 1-0 menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.
Gol tunggal permainan dijaringkan pemain Mohamad Fayadh Zulkifli Amin pada minit ke-16.
Sementara itu, penolong ketua jurulatih KDN FC Rezal Zambery Yahya turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan pemainnya walaupun tewas tipis pada perlawanan itu.
Menurut beliau, anak buahnya berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol, tetapi penyudah tumpul menghalang mereka meraih mata.
"Apa pun banyak perkara kita kena tingkatkan terutama sekali menukar setiap peluang kepada jaringan. Saya berterima kasih kepada pemain semua, mereka tetap berjuang dan bermain bersungguh-sungguh," katanya.
-- BERNAMA