DUA jaringan yang hadir menerusi sepakan sudut memastikan Ruben Amorim terpaksa akur tewas buat kali pertama sebagai jurulatih Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Arsenal 0-2 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Selepas beraksi dengan hambar dalam separuh masa pertama, pasukan tuan rumah meledak gol pembukaan menerusi Jurrien Timber yang menoktahkan tendangan sudut daripada Declan Rice untuk menewaskan Andre Onana pada minit ke-54.
The Gunners menggandakan gol pendahuluan mereka dengan cara yang sama sekali lagi apabila hantaran Bukayo Saka ditanduk Thomas Partey dengan William Saliba mudah menampan bola masuk untuk memastikan Arsenal selesa mendahului dengan keputusan 2-0 sehingga wisel penamat.
Begitupun, kemenangan itu menyaksikan Arsenal jatuh ke tangga ketiga selepas Chelsea membenam Southampton 5-1, tetapi mereka berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Liverpool, kepada tujuh mata, manakala The Red Devils berada di kedudukan ke-11 selepas lima kali tewas.
Untuk rekod, skuad kendalian Mikel Arteta telah menjaringkan lebih banyak gol daripada sepakan sudut (22) berbanding pasukan lain dalam saingan EPL sejak awal musim lalu.
Malah, ketua jurulatih United, Ruben Amorim, mengalami kekalahan pertama liga sejak Disember -Bersama Sporting CP- sekali gus menamatkan rekod bersih tanpa kalah 34 perlawanan untuk jurulatih kelahiran Portugal itu. - Stadium Astro