Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha China untuk membangunkan pasaran data nasional yang disatukan dan memperkukuh ekonomi digital, menurut garis panduan yang dikeluarkan pada Isnin oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan bersama dua pihak berkuasa lain.
Pembangunan prasarana data nasional, iaitu sejenis infrastruktur baharu yang menyokong pengumpulan, pengagregatan, penghantaran, pemprosesan, peredaran, penggunaan, operasi dan keselamatan data, dilaksanakan di tengah-tengah perkembangan pesat teknologi digital dan infrastruktur di seluruh dunia.
Menurut garis panduan itu, pembangunan prasarana data di China masih berada pada peringkat awal. Rancangan negara ini termasuk menyiapkan reka bentuk peringkat atasan bagi prasarana data nasional antara 2024 dan 2026, serta membina infrastruktur yang menyokong peredaran data berskala besar dan kesalinghubungan penuh antara rangkaian data dan kemudahan kuasa pengkomputeran dari 2027 hingga 2028.
China turut berikrar untuk menaik taraf rangkaian 5G kepada tahap 5G-A serta mempromosikan penyelidikan, pembangunan dan inovasi berkaitan 6G, menurut garis panduan itu.
Rangkaian 5G-A mengatasi 5G sedia ada dari segi kelajuan, latensy, skala sambungan dan penggunaan tenaga. Ia mampu mencapai kadar data maksimum 10 gigabit sesaat untuk muat turun, satu gigabit sesaat untuk muat naik, latensy pada peringkat milisaat, dan sambungan kos rendah bagi Internet Pelbagai Benda (IoT).
Beberapa bandar raya utama China seperti Beijing dan Shanghai telah mula menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G-A di beberapa daerah.
-- BERNAMA