Beijing "sentiasa percaya yang 'rakyat Palestin mentadbir Palestin' adalah prinsip asas bagi pentadbiran selepas perang di Gaza," kata jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian, kepada pemberita.
"Kami menentang pengalihan dan pemindahan paksa penduduk di Gaza," tegas Lin, menolak rancangan kontroversial Trump untuk menguasai wilayah Palestin itu.
Kenyatan Beijing dibuat selepas Trump mengumumkan rancangan untuk AS "mengambil alih" Semenanjung Gaza dan "membangunkannya selepas memindahkan rakyat Palestin ke negara jiran."
Trump membuat kenyataan tersebut dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang sedang melakukan lawatan ke Washington.
"AS akan menguasai Semenanjung Gaza dan kami akan melakukan perubahan di sana," katanya. "Kami akan membangunkannya, mencipta ribuan peluang pekerjaan dan ini akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh Timur Tengah."
Trump tidak memberi butiran lanjut tentang bagaimana AS akan melaksanakan rancangan pemindahan tersebut.
Sebaliknya, Kementerian Luar China berkata ia berharap "semua pihak berkepentingan akan mengambil peluang gencatan senjata di Gaza dan pentadbiran selepas perang untuk membawa isu Palestin kembali ke landasan yang betul bagi penyelesaian politik berdasarkan 'penyelesaian dua negara', untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah."
-- BERNAMA