Skuad kendalian Arne Slot itu mempunyai sembilan mata di hadapan The Gunners selepas membelasah West Ham 5-0 serta mencatat kemenangan liga ke-14 daripada 18 perlawanan di bawah kendalian pengurus Belanda tersebut.
Bahkan Liverpool masih mempunyai satu perlawanan di dalam tangan menjelang pertembungan 'derby' Merseyside dengan Everton yang ditangguhkan kerana angin kencang pada awal bulan lalu.
Begitupun, Arsenal mempunyai peluang untuk memanjat ke tangga kedua andai menang ke atas Brentford awal pagi esok dan memintas Nottingham Forest.
Anak buah Arteta belum kalah dalam lapan perlawanan terakhir EPL selepas kemenangan tipis ke atas Ipswich Town.
Namun, apabila ditanya betapa sukarnya untuk menghambat Liverpool, Arteta memberitahu Sky Sports:
"Saya tidak pasti dan ia bukan bergantung kepada kami.
“Kami perlu terus menjadi seperti tukul - sentiasa berada di sana saban hari.
"Dan maksud saya, jika seseorang memenangi semua perlawanan, ucapkan tahniah kepadanya dan ayuh beralih ke musim depan.
"Tetapi jika mereka tidak menang, kejuarannya belum muktamad maka kami akan berada di sana." - Stadium Astro