GENEVA: Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin berkata, pasukan tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah salah satu konvoinya di Gaza, dalam satu kejadian yang disifatkan "insiden yang mengerikan."

Agensi itu berkata, konvoi yang terdiri daripada tiga kenderaan yang membawa lapan kakitangannya dari Gaza tengah ke Bandar Gaza di utara witu ditembak dengan 16 peluru berhampiran pos kawalan Wadi Gaza pada Ahad.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, namun, konvoi tersebut tidak dapat bergerak selepas insiden itu.

Menurut kenyataan WFP, kenderaan-kenderaan tersebut jelas dilabelkan dan telah mendapat kebenaran keselamatan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Israel.

"WFP dengan tegas mengecam insiden mengerikan pada 5 Januari itu," menurut kenyataan tersebut.

"Peristiwa yang tidak boleh diterima ini hanyalah contoh terkini mengenai persekitaran kerja yang kompleks dan berbahaya yang dihadapi oleh WFP dan agensi lain hari ini," kata WFP, sambil menyeru peningkatan tahap keselamatan bagi membolehkan bantuan diteruskan.

Tentera Israel dalam reaksinya pula mempertahankan tindakan berkenaan dengan menyatakan mereka melakukan segala usaha untuk memudahkan penghantaran bantuan dan sedang menyiasat apa yang berlaku.

"Insiden tersebut telah dikaji, prosedur operasi telah diperjelaskan dan dapatan daripada siasatan akan dianalisis," menurut kenyataan tentera Israel.

Agensi bantuan antarabangsa yang berusaha untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza sering mendakwa pasukan Israel menghalang atau mengancam operasi mereka di tengah-tengah kempen Israel untuk memusnahkan pasukan pejuang Hamas. - Agensi