Menyifatkan insiden itu sebagai "sama sekali tidak boleh diterima," Pengarah Eksekutif WFP Cindy McCain dalam catatannya di platform X berkata "sebuah konvoi WFP jelas memaparkan logonya dan membawa lapan anggota WFP ditembak tentera Israel berhampiran Wadi Gaza walaupun mendapat kelulusan awal. Petugas kemanusiaan tidak sepatutnya menjadi sasaran serangan."
"Kami memerlukan akses yang selamat dan terjamin untuk terus menyampaikan bantuan yang dapat menyelamatkan nyawa," kata McCain, balu kepada John McCain, seorang senator Amerika Syarikat.
Dalam serangan Israel ke atas Gaza yang kini hampir memasuki bulan ke-16, tentera Israel kerap menyerang hospital, masjid, gereja, kakitangan bantuan kemanusiaan serta zon pengedaran bantuan suatu tindakan yang dianggap mencabul undang-undang perang. Israel juga mengehadkan bekalan bantuan yang masuk ke Gaza dengan ketara.
Serangan yang berterusan di wilayah itu memaksa hampir dua juta daripada 2.3 juta penduduk Gaza melarikan diri dalam keadaan yang terdesak, hidup di khemah atau tempat perlindungan sementara walaupun menghadapi kekurangan makanan, air dan bekalan perubatan yang serius.
Tentera Israel meneruskan serangan yang disifatkan sebagai genosid ke atas Gaza yang meragut hampir 46,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera.
November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana serangannya di wilayah berkenaan.
-- BERNAMA