"Kita semua kini telah mendengar daripada Rusia - kata-kata Putin yang sangat boleh dijangka, sangat manipulatif sebagai tindak balas terhadap idea gencatan senjata," kata Zelenskyy dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Dalam kenyataan pertamanya mengenai cadangan gencatan senjata selama 30 hari yang dicadangkan oleh AS dan disokong oleh Ukraine, Putin menyatakan persetujuan tetapi mengemukakan "soalan serius" mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan.
Washington telah menggesa Rusia menerima gencatan senjata tanpa prasyarat, namun Putin menyenaraikan beberapa halangan yang perlu diatasi.
"Kami tidak menetapkan syarat yang merumitkan keadaan. Rusia yang melakukannya," kata Zelenskyy.
"Seperti yang selalu kami katakan, satu-satunya pihak yang akan melengah-lengahkan keadaan, satu-satunya pihak yang tidak akan bersikap konstruktif adalah Rusia."
Zelenskyy menuduh Putin sebenarnya sedang "bersedia untuk menolak" tetapi takut untuk menyatakan secara terus kepada Presiden Trump bahawa dia mahu meneruskan perang.
Beliau juga berkata, Putin cuba menggambarkan cadangan gencatan senjata dengan prasyarat yang begitu ketat sehingga ia tidak akan berjaya atau akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.
Dalam kenyataan pada Khamis, Putin menyuarakan kebimbangan Ukraine akan menggunakan tempoh gencatan senjata untuk kepentingan ketenteraannya dan berkata, Rusia ingin meneruskan serangan kerana tenteranya sedang membuat kemajuan.
Putin juga mempersoalkan bagaimana gencatan senjata akan dipantau di sepanjang garis hadapan yang merentasi ribuan kilometer.
"Putin sering melakukan perkara ini. Dia tidak mengatakan 'tidak' secara langsung, tetapi dia melakukannya dengan cara yang melengah-lengahkan segala-galanya dan menjadikan penyelesaian yang normal mustahil," kata Zelenskyy.
"Kami percaya bahawa ini hanyalah satu lagi manipulasi Rusia."
Beliau menambah, pihak Amerika Syarikat telah menyatakan kesediaan mereka untuk "mengatur kawalan dan pengesahan" terhadap gencatan senjata.
"Ia boleh dilaksanakan dengan keupayaan Amerika dan Eropah. Dan untuk menyediakan jawapan kepada semua persoalan tentang keselamatan jangka panjang serta keamanan yang sebenar dan boleh dipercayai sepanjang tempoh gencatan senjata serta meletakkan pelan untuk menamatkan perang di atas meja," tambah Zelenskyy. - Agensi
