MELAKA: Polis menahan seorang penganggur digelar 'Zarul Solo' yang dipercayai terbabit dalam kes samun barang kemas melibatkan kerugian RM12,000 di sebuah kedai emas di Taman Paya Rumput Utama di sini, 9 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 malam, Rabu di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh.

Beliau berkata polis turut merampas sebahagian barang kemas yang dipercayai disamun, manakala baki barangan itu telah dijual untuk mendapatkan wang tunai.

"Lelaki itu melarikan tiga rantai leher dengan berpura-pura menjadi pelanggan. Dia melakukan jenayah itu bersendirian dan hasil samun dipercayai digunakan untuk menampung kehidupan harian dan berjudi," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Christopher berkata siasatan awal mendapati kes itu adalah percubaan pertama suspek terlibat samun kedai emas dan dia yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan curi dan ragut kini direman enam hari hingga Selasa ini.

Beliau berkata seorang wanita berusia 54 tahun yang juga pekerja kedai pajak gadai dan seorang lelaki berusia 61 tahun yang merupakan pemilik kedai emas turut ditahan bagi membantu siasatan membeli barang emas yang disamun.

"Siasatan awal mendapati, suspek menyasarkan kedai emas yang tidak mempunyai pengawal keselamatan dan premis berdekatan jalan utama bagi memudahkan melarikan diri jika dikejar," katanya.

Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki digelar 'Mamat Solo' dipercayai terlibat sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di sekitar Melaka Tengah sejak awal tahun ini dengan melibatkan kerugian RM12,800.

Lelaki berusia 27 tahun itu, katanya ditahan di sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh di sini kira-kira 1.25 pagi Rabu dan dia dipercayai melakukan jenayah berkenaan secara bersendirian antara 1 hingga 6 pagi dengan menyasarkan kawasan perumahan yang sunyi.

"Wang tunai dan hasil jualan barangan yang diperoleh dipercayai digunakan untuk menampung kehidupannya selain membeli dadah.

"Suspek juga baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah selain mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah," katanya sambil menambah lelaki itu kini direman hingga Isnin ini.

-- BERNAMA