RIYADH: Jerman akan menyediakan tambahan EUR50 juta (AS$51 juta) sebagai bantuan kemanusiaan kepada Syria, kata Menteri Luar Annalena Baerbock pada Ahad di luar persidangan antarabangsa di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, lapor agensi berita Jerman dpa.

Dana itu akan disalurkan kepada Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai organisasi bukan kerajaan untuk menyediakan makanan, tempat perlindungan kecemasan, serta penjagaan perubatan, katanya.

Baerbock turut membincangkan prospek melonggarkan beberapa sekatan terhadap Syria.

Beliau menegaskan bahawa sekatan terhadap anggota rejim bekas pemerintah Syria Bashar al-Assad, yang didakwa melakukan jenayah serius semasa perang saudara, perlu dikekalkan.

Bagaimanapun, kerajaan Jerman mencadangkan pendekatan "pintar" kepada Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong rakyat Syria dengan cepat, termasuk memastikan bekalan makanan dan peningkatan bekalan elektrik harian supaya kerja-kerja pembinaan semula dapat dimulakan, katanya.

"Semua ini menggalakkan kestabilan dan memastikan peralihan kuasa secara aman," kata Baerbock.

Selain Baerbock, peserta persidangan itu termasuk menteri luar dari negara Arab, Menteri Luar Syria Asaad al-Shibani, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, Menteri Luar Britain David Lammy serta Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas.

Topik lain yang dibincangkan termasuk proses politik untuk penstabilan Syria yang berkekalan, situasi kemanusiaan dan pembinaan semula negara itu.

-- BERNAMA