"Setiausaha Agung amat marah dengan pembunuhan tiga kakitangan Program Makanan Dunia pada 19 Disember, apabila pejabat lapangan agensi itu di Yarbus, Blue Nile State, terkena serangan udara," kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu kenyataan bagi pihak Guterres.
Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan rakan sekerja mereka di WFP, beliau juga mengutuk sekeras-kerasnya semua serangan ke atas kakitangan dan kemudahan PBB serta bantuan kemanusiaan di samping menyeru agar siasatan menyeluruh dilakukan.
Kenyataan itu turut menekankan kesan buruk yang dialami oleh konflik ganas di Sudan terhadap jutaan orang yang memerlukan bantuan serta pekerja kemanusiaan yang cuba menyampaikan bantuan penting.
"Tahun 2024 adalah tahun paling berdarah yang direkodkan bagi petugas bantuan di Sudan. Walaupun berdepan ancaman besar terhadap keselamatan, mereka terus berusaha sedaya mungkin memberikan sokongan penting di mana sahaja ia diperlukan," menurut kenyataan itu.
Guterres juga menyeru semua pihak untuk mematuhi tanggungjawab mereka melindungi orang awam termasuk kakitangan bantuan, serta premis dan bekalan kemanusiaan.
"Serangan tidak boleh diarahkan terhadap mereka, dan semua langkah wajar mesti diambil untuk mengelakkan bahaya kepada mereka.
"Selepas lebih 20 bulan konflik di Sudan, Setiausaha Agung sekali lagi menegaskan keperluan untuk gencatan senjata segera. PBB akan terus menyokong usaha pengantaraan antarabangsa dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk membantu menamatkan perang," menurut kenyataan itu.
Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher turut mengecam pembunuhan kakitangan WFP di Sudan.
"Saya berang dengan pembunuhan rakan-rakan kemanusiaan kita. Kita memerlukan kebertanggungjawapan dan perlindungan.
Takziah ikhlas saya kepada keluarga dan rakan yang sedang berkabung, kepada Ketua WFP (Cindy McCain), dan kepada semua di WFP," katanya di platform X.
Beliau menggambarkan tahun 2024 sebagai "tahun terburuk" bagi petugas kemanusiaan dengan berkata ia "hanya menjadi tertambah buruk."
--BERNAMA-AA