KUCHING: Tiada rombakan Kabinet negeri akan dilakukan susulan keputusan pemilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari, yang juga Presiden PBB, menjelaskan pemilihan parti tiada kaitan dengan pelantikan jawatan dalam Kabinet negeri.

"Tiada rombakan, pemilihan parti tiada kena-mengena dengan (rombakan) Kabinet. Kami akan meneruskan seperti biasa," katanya kepada pemberita di luar Perhimpunan Agung PBB ke-16 di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau akan menyerahkan keputusan mengenai jawatannya dalam Kabinet kepada Abang Johari susulan kekalahan mempertahankan jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera PBB pada pemilihan parti itu semalam.

Abdul Karim, yang memegang dua portfolio menteri dalam Kabinet negeri iaitu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berkata sebarang keputusan mengenai pelantikan anggota Kabinet adalah hak prerogatif Premier.

Abdul Karim tewas dalam pertembungan enam penjuru untuk merebut empat kerusi jawatan Naib Presiden.

Beliau memperoleh 669 undi dan menduduki tempat kelima daripada enam calon.

Hanya empat calon dengan undian tertinggi akan dilantik sebagai Naib Presiden.

Lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung selama tiga hari yang bermula pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA