Mikel Arteta meluahkan kekecewaannya terhadap hukuman sepakan penalti yang dilabelnya keras ketika Arsenal seri 1-1 di Brighton, awal pagi tadi.
Malah, kekecewaan itu mendorongnya enggan membuka mulut mengenai peluang barisannya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Gunners memecah kebuntuan perlawanan di Stadium Amex itu pada minit ke-16 menerusi jaringan kedua liga Ethan Nwaneri.
Begitupun, Brighton menyamakan kedudukan di pertengahan babak kedua selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran di udara oleh William Saliba ke atas Joao Pedro - yang menyempurnakan sendiri tendangan itu.
Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal tercicir lima mata di belakang pendahulu, Liverpool, setelah beraksi lebih dua perlawanan, namun Arteta lebih fokus kepada keputusan yang tidak adil terhadap pasukannya.
“Kami sangat kecewa dengan penalti itu,” katanya kepada Sky Sports.
"Saya tidak pernah melihatnya dalam hidup saya - apatah lagi Saliba menyentuh bola. Ia bukan satu untuk kekasaran bagi saya."
Di sebalik keputusan itu, pengurus Sepanyol tersebut juga mengakui pasukannya tidak menawarkan cukup ancaman ke gawang lawan sepanjang perlawanan ini.
"Kami perlu beraksi setiap tiga hari. Saya faham betapa kami mahukan kemenangan, namun daripada segi kualiti dan ketekalan serta melakukan perkara mudah dengan betul ketika menentang pasukan yang kompetitif, usaha kami tidak memadai pada hari ini." - Stadium Astro