ARSENAL membuat permulaan sempurna dalam 2025 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brentford 3-1 untuk melonjakkan kedudukan mereka ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Mikel Arteta itu terpaksa akur dengan jaringan pertama Bryan Mbeumo yang dalam momentum cemerlang menjaringkan gol ke-11 liga untuk memberikan The Bees mendahului seawal minit ke-13.

Namun, Gabriel Jesus kembali menyeimbangkan kedudukan selepas tandukannya menerjah gawang hasil percubaan Thomas Partey yang gagal dibuang kemas oleh Mark Flekken.

Dua lagi gol The Gunners hadir dalam tempoh tiga minit separuh masa kedua daripada Mikel Merino sebelum Gabriel Martinelli melengkapkan gol ketiga buat pasukan pelawat.

Kejayaan itu menyaksikan Arsenal mengikut rapat Liverpool dengan perbezaan jurang enam mata yang berada di puncak liga, manakala Brentford - yang kini mengharungi empat perlawanan liga tanpa kemenangan - kekal di tangga ke-12.

Untuk rekod, Gabriel Jesus, kini telah menjaringkan enam gol dalam empat penampilan terakhir buat Arsenal dalam semua pertandingan.

Pemain Brazil itu turut menjaringkan gol dalam aksi di tempat lawan berturut-turut dalam saingan liga buat pertama kali sejak April 2023.