Arteta turut menegaskan bahawa hubungannya dengan Pep Guardiola tetap positif, walaupun persaingan antara Arsenal dan Manchester City semakin hangat.
The Gunners akan menerima kunjungan Manchester City di Stadium Emirates pada 12.30 tengah malam ini, kira-kira empat bulan selepas perlawanan pusingan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berkesudahan seri 2-2 di Etihad.
Ketika itu, berlaku konfrontasi tegang sebaik wisel penamat ditiup, di mana Haaland menyebut ungkapan 'stay humble' kepada Arteta sebelum bertikam lidah dengan Gabriel Jesus.
Apabila ditanya mengenai sindiran Haaland itu, Arteta tidak mahu mengambilnya secara serius.
“Sejak saya menjadi pemain lagi, apa yang berlaku di atas padang akan kekal di situ.
“Terdapat banyak emosi dan pelbagai perkara. Saya ketepikan semua itu dan terus maju,” kata Arteta.
Kebangkitan Arsenal di bawah kendalian Arteta menyaksikan mereka bersaing dengan City bagi merebut kejuaraan EPL dalam dua musim terakhir.
Pada September 2024, dua pemain The Citizens, John Stones dan Bernardo Silva menuduh Arsenal membuang masa dan bermain kotor dengan hanya 10 pemain untuk mempertahankan kelebihan mereka pada separuh masa kedua.
Apabila ditekan mengenai dakwaan Arsenal menggunakan pendekatan anti bola sepak, Arteta seolah-olah ingin membalas serangan City dengan merujuk kepada tiga tahunnya sebagai pembantu jurulatih di bawah Guardiola.
Guardiola kemudiannya meminta Arteta menjelaskan kenyataannya, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa persahabatan lama mereka telah terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, Arteta memaklumkan bahawa David Raya diragui untuk diturunkan kerana penjaga gol itu masih mengalami kecederaan otot.
Beliau juga tidak dapat meredakan kebimbangan penyokong bahawa jendela perpindahan yang akan ditutup pada Isnin ini mungkin berakhir tanpa sebarang pembelian baharu.
Tawaran pertama Arsenal untuk penyerang Aston Villa, Ollie Watkins telah ditolak awal minggu ini.
The Gunners kini sedang menilai sama ada mahu kembali dengan tawaran yang lebih baik atau mengalihkan perhatian kepada pemain lain. - Sinar Harian