KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) bersama parti lain hanya akan ditentukan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bentuk kerjasama itu hanya terjadi sekiranya BN gagal memenangi majoriti mudah dalam PRU15.

"Jika 85 kerusi menang dan ini jelas kita tidak mampu membentuk kerajaan kerana ia memerlukan majoriti mudah 112 kerusi, jadi tentu saja kita akan bekerjasama dengan parti-parti lain.

"Sebagai contoh Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN dan apa-apa parti sekalipun akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas keputusan.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRU15 DI SINI 


"Apa-apa pun kita tunggu keputusan dulu kemudian parti akan membuat keputusan (kerjasama)," katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, di sini, pada Rabu.

Beliau mengulas pandangan penganalisis politik, Azmi Hassan yang menjangkakan BN mampu meraih kemenangan 80 hingga 85 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu.

Melihat kepada angka tersebut, Azmi berkata, ia masih tidak mencukupi untuk BN mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi.


Justeru, BN memerlukan sokongan parti-parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak untuk menawan Putrajaya.