Abang Allahyarham, Muhammad Nidza Irfan Mokhtar berkata, mereka sekeluarga belum dimaklumkan berkenaan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara itu, namun mengakui sudah reda dengan pemergian Muhammad Nidza Afham.
“Semasa di hospital, pakar forensik tidak maklumkan apa-apa. Begitu juga kenyataan polis, kami belum diberitahu tapi kami serahkan semua pada pihak berkuasa.
“Kami difahamkan ada ujian lain yang masih perlu dilakukan.
“Apapun, kami sekeluarga reda dan bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Nidza Afham di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataannya memaklumkan, kes kematian Allahyarham Muhammad Nidza Afham diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ia susulan bedah siasat terhadap mayat penyanyi dan YouTuber itu didapati tiada kecederaan fizikal.
Dalam pada itu, Muhammad Nidza Irfan menyifatkan adiknya itu seorang yang ceria dan penghibur dalam keluarga.
Jelasnya, Allahyarham juga sejak kebelakangan ini sering bertanyakan hal berhubung masa depan dan serius untuk mula membina kehidupan berumah tangga.
“Dalam komputer riba miliknya, ada satu fail khas tentang perihal solat. Mungkin dia sedang belajar untuk perbaiki solat sebagai persediaan menjadi suami.
“Sebagai abang, saya tidak ada impian lain selain hendak melihat dia menjalani kehidupan dengan baik.
“Sekarang dia sudah tiada, tak ada perkataan untuk gambarkan perasaan saya,” katanya sebak.
Muhammad Nidza Afham dilaporkan hilang pada petang Selasa selepas keluar berjoging di Stadium Klang.
Kehilangannya disedari keluarga pada jam 9 malam dan laporan polis dibuat pada jam 4 pagi Rabu.
Pada malam Rabu, polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di Sungai Klang, Klang adalah Muhammad Nidza Afham.