Beliau berkata pembinaan projek berkenaan berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan, dan dengan perkembangan itu kerajaan yakin operasi ECRL dari Gombak ke Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, akan dapat dimulakan awal 2027.
"Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, memang pembinaan sudah agak advance. Masih di peringkat awal lagi ialah di Selangor, hanya lebih 30 peratus. Tetapi, memang jadual kita, operasi ECRL akan bermula pada Januari 2027 iaitu dari Kota Bharu (Kelantan) ke LRT Gombak (Selangor) akan siap menjelang akhir 2026.
"Setahun kemudian landasan dari Gombak ke Pelabuhan Klang akan disiapkan. Memang landasan menghubungkan Pelabuhan Port Klang ke Pantai Timur ini agak penting, kerana ia akan sampai ke pelabuhan utama kita untuk pengangkutan kargo," katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan 2024 sempena Ulang Tahun ke-50 Pelabuhan Kuantan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Loke berkata pengangkutan kargo merupakan komponen penting dalam ECRL kerana dengan adanya landasan dan infrastruktur ini, ia memberikan banyak kelebihan kepada sektor perindustrian di Pantai TImur khususnya di Pahang.
"Pahang ada lima stesen kargo yang akan dibina untuk memudahkan pergerakan kargo antara kawasan perindustrian dengan pelabuhan, sama ada pelabuhan Kuantan ataupun Klang. Jadi, ini sudah tentu merupakan satu tarikan kepada pelabur, pengilang untuk buka kilang di sepanjang jajaran ECRL," katanya.
Projek bernilai RM50.2 bilion ini menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, hab perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan zon pelancongan, serta pertukaran dengan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA