BANGKOK: Parti pembangkang terbesar Thailand, Parti Rakyat, tidak akan menyokong calon perdana menteri pakatan parti pemerintah semasa pengundian pada Jumaat untuk memilih ketua kerajaan, kata ketua parti Natthaphong Ruengpanyawut pada Khamis, lapor Sputnik.

"Parti Rakyat, yang merupakan kumpulan terbesar dalam parlimen, akan terus menerajui pembangkang parlimen dan tidak akan menyokong pakatan pemerintah dalam pemilihan perdana menteri pada sesi parlimen Jumaat ini," kata Ruengpanyawut seperti yang dipetik oleh akhbar Thairath.

Parti Rakyat merupakan pengganti kepada Parti Move Forward yang progresif, yang dibubarkan minggu lepas oleh Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan menggugat sistem politik monarki berperlembagaan Thailand.

Parti itu kehilangan beberapa Ahli Parlimen apabila keputusan mahkamah yang sama melarang bekas pemimpinnya daripada sebarang aktiviti politik selama 10 tahun.

Walaupun begitu, 143 ahlinya kekal sebagai yang terbesar dalam Dewan Rakyat Parlimen.

Pada Rabu, Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Perdana Menteri Srettha Thavisin atas dakwaan melanggar etika perlembagaan negara.

Parti-parti di Parlimen akan mengesahkan calon mereka untuk jawatan perdana menteri pada Khamis, dan calon pertama yang dicalonkan oleh pakatan pemerintah akan diundi pada sesi parlimen Jumaat. Parti Rakyat tidak menamakan sebarang calon.

-- BERNAMA