BANGI: Gerakan Tanah Air (GTA) akan menamakan calon perdana menterinya hanya setelah memenangi Pilihan Raya Umum (PRU15), kata Pengerusi Protem GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh Malaysia berkata setakat ini GTA tidak mempunyai senarai calon untuk jawatan perdana menteri.

"Kita (GTA) akan tentukan kalau kita menang PRU nanti. Kalau tak menang, calon PM (perdana menteri) tak ada," katanya pada sidang media selepas mengumumkan calon PRU15 GTA di Pusat Konvensyen Bangi di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada GTA telah memuktamadkan calon bersesuaian untuk jawatan perdana menteri sekiranya berjaya memenangi 112 kerusi Parlimen pada PRU15.

GTA hari ini mengumumkan akan bertanding di lebih 120 kerusi Parlimen pada PRU15 dengan menggunakan logo dan bendera Pejuang kerana pendaftaran gerakan yang ditubuhkan pada 4 Ogos lepas itu belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mengenai manifesto GTA, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai perancangan GTA sekiranya gagal membentuk kerajaan, beliau berkata langkah susulan akan dibuat selepas PRU15, sama ada akan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak atau sebaliknya.

"Mungkin kita tidak dapat semua kerusi tapi saya yakin kita boleh menang. Sebarang perancangan akan dibuat selepas pilihan raya,"katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata tiada pertemuan diadakan bersama beberapa nama besar pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang tidak disenaraikan sebagai calon PRU15.

"Tetapi kalau datang berjumpa pun, kerusi sebagai calon GTA dah penuh," katanya.

Pada majlis pengumuman bakal calon BN bagi PRU15 semalam, beberapa pemimpin parti itu tidak tersenarai termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

-- BERNAMA