GEORGE TOWN: Misi pelaburan dan perdagangan InvestPenang ke Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Ketua Menteri Chow Kon Yeow berjaya mengeratkan hubungan dengan pelabur dari negara tersebut serta menyediakan peluang meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata misi tersebut yang berlangsung selama 10 hari dari 4 hingga 14 Ogos 2024, melibatkan sejumlah 22 mesyuarat strategik rasmi dan lawatan ke tapak yang bertujuan untuk menggalakkan pengembangan operasi syarikat terbabit di Pulau Pinang serta menarik pelaburan baharu ke negeri berkenaan.

"Semasa mesyuarat tersebut, perbincangan utama tertumpu kepada impak transformasi AI dalam sektor kritikal, dengan previu awal tentang potensi penggunaan dan inovasinya.

"Dialog itu mengetengahkan kepentingan strategik Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global, terutamanya dalam keadaan ketegangan geopolitik ketika ini," kata Chow dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, perbincangan tersebut juga mengangkat keupayaan luar biasa tenaga kerja Pulau Pinang dalam mengekalkan dan mempertingkatkan ekosistem tempatan.

Tumpuan juga diberikan terhadap keperluan mendesak penerimagunaan tenaga boleh baharu serta hala tuju strategik Pulau Pinang ke arah prinsip alam persekitaran, sosial, dan tadbir urus.

Menurut kenyataan itu, misi pelaburan dan perdagangan tersebut berada di San Jose selama empat hari dengan program mengunjungi syarikat seperti MKS Instruments, Brooks Instrument, Lattice Semiconductor, AMD, Synopsys, Efinix, Agilent, Coherent, SambaNova, dan Western Digital.

Delegasi berkenaan kemudiannya melawat Seattle, San Diego, dan Los Angeles untuk bertemu dengan syarikat Centific, Monolithic Power Systems (MPS), Dexcom, Cohu, UST, TTM Technologies, Mattel, dan pelabur berpotensi.

"Misi ke AS ini bukan sahaja menyediakan peluang meninjau teknologi AI dan teknologi baharu yang digunakan oleh pelabur sedia ada dan pelabur berpotensi, tetapi juga merupakan langkah penting untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dan meletakkan asas untuk pertumbuhan masa depan.

"Usaha kolaborasi dan maklum balas yang diperoleh semasa lawatan ini pasti akan mengukuhkan hubungan ekonomi dan memastikan kemakmuran berterusan bagi Pulau Pinang dan rakan-rakan antarabangsa kami," katanya.

-- BERNAMA