Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, pengundi perlu lebih berhati-hati, dan sentiasa menyemak fakta apabila mendengar kempen politik yang dilakukan pihak lawan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, semasa tempoh berkempen, akan wujud pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kaedah kempen yang tidak sihat, termasuk menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fitnah.
"Ini penting untuk semua pengundi Kuala Kubu Baharu, untuk berhati-hati dan dengar kepada maklumat yang betul, ada pelbagai maklumat (ketika kempen) dan kebanyakannya berunsurkan fitnah.
"Akan ada video-video lama yang sengaja disiar semula sebagai kempen yang kotor. Kita mahukan suasana kempen yang bersih dan rakyat perlu dapatkan maklumat daripada laporan media yang sahih," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, di sini, pada Ahad.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.
Mengenai majlis rumah terbuka itu, Ramanan berkata ia sebagai usahanya untuk menyantuni rakyat di Parlimen itu, selain menjadi platform mengerat keharmonian masyarakat berbilang kaum sempena Aidilfitri.
Majlis yang berlangsung bermula 12 tengah hari sehingga petang itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 pengunjung dan diserikan dengan persembahan artis tempatan.
Pada majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan kepada 200 ahli pengurusan jenazah sekitar Parlimen Sungai Buloh termasuk penggali kubur, pemandu van jenazah dan siak (masjid dan surau). - BERNAMA