Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata politik identiti dengan memainkan isu kaum dan agama bagi meraih undi maksimum daripada pengundi Melayu, juga disifatkan sebagai sudah sampai pada tahap tepu.
Jelas beliau, PN sebaliknya perlu akur bahawa untuk membentuk sebuah kerajaan yang lebih harmoni, kemajmukan masyarakat di satu-satu lokaliti itu perlu diraih bagi memastikan kemenangan mutlak.
Bagaimanapun, Hisomuddin berkata kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Kuala Kubu Baharu tidak boleh disimpulkan dengan naratif bahawa orang Melayu 'kembali' menyokong gabungan berkenaan.
"Ini kerana bagi saya polanya sama tidak ada banyak perubahan sangat... Anak muda khususnya Melayu masih lagi bersama dengan PN.
"Kalau tengok saluran 3, 4, 6 dan 7, itu masih lagi (menyokong PN). Cuma bezanya ialah saluran 1 dan 2. Saya nak petik antara DUN marginal, yang dulunya dimenangi oleh PN, tetapi kali ini PH menang.
"Sebagai contoh di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerling dan Air Jernih, terdapat perubahan pada pola terutamanya di saluran 1 dan 2, yang menunjukkan bahawa UMNO dan BN mula menemui rentak untuk memujuk kembali penyokong mereka, yang mungkin dahulunya merajuk dan protes," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu, semalam, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Enam daripada lapan PDM majoriti Melayu berjaya dirampas oleh PH, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tahun lalu, yang menyaksikan gabungan itu tewas di semua PDM berkenaan.
Hisomuddin menambah, isu-isu hangat yang menjadi topik perbincangan di media sosial seperti kelulusan calon, sekolah vernakular dan hutang 'ah long' tidak mempengaruhi para pengundi.
Sebaliknya, beliau berkata berdasarkan pengamatan dan tinjauan, para pengundi lebih mengharapkan agar wakil rakyat yang dipilih memberikan khidmat yang terbaik seperti yang pernah dilakukan oleh penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong.
"Jadi prestasi yang ditunjukkan oleh mantan calon juga menjadi satu ukuran. Malahan yang lebih kritikal lagi, mereka membandingkan calon yang telah memenangi kerusi Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN-DUN lain.
"Pada hemat, mereka (ADUN berkenaan) tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan sepanjang hampir dua tahun sebagai wakil rakyat," ujarnya.