KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam merupakan bukti kerjasama erat parti-parti dalam komponen itu dan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dengan kemenangan itu, PH harus bekerja kuat bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Pengundi sudah memilih, maka siapa terpilih jadilah wakil rakyat dengan sebaik mungkin supaya kita dapat membuat yang terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kejohanan golf amal anjuran Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) di Bukit Kiara hari ini.

Pada PRK itu, Pang Sock Tao, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK itu diadakan susulan kekosongan kerusi DUN itu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lepas.

Sementara itu, Fadillah berkata Kerajaan Perpaduan akan terus menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan usaha membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

"Yang penting ialah bagaimana kita nak strukturkan semula supaya kita mempunyai kemampanan dari segi kewangan dan dengan kemampanan itu kita dapat fokus bangunkan negara kita dari segi projek dan fokus kepada bantuan dan terus kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA